Penyatuan ummah bukan semata-mata bermaksud semua orang mesti berada dalam satu parti, satu organisasi atau satu pandangan politik. Hakikat penyatuan ialah bersatu dalam perkara asas agama dan kepentingan umat, sambil mengurus perbezaan dalam perkara cabang.
Allah SWT berfirman:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya : Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah.
(Surah al- Imran 3:103)
Kejayaan penyatuan ummah akan menghasilkan kekuatan politik dan sosial umat, berkurangnya permusuhan sesama Muslim, kerjasama dalam ekonomi, pendidikan dan kebajikan. Suara umat yang lebih kuat dalam mempertahankan Islam dan kepentingan masyarakat.
Kegagalan penyatuan pula bukan sekadar tidak tercapainya satu kerjasama politik. Yang lebih membimbangkan ialah apabila perbezaan politik berubah menjadi permusuhan sesama Muslim.
Antara tanda kegagalan ialah, bermula dengan perbezaan pendapat, perselisihan, perpecahan, permusuhan, hilangnya kepercayaan akhirnya umat Islam menjadi lemah.
Allah SWT telah berfirman:
وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
Maksudnya : Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kerana dengan itu kamu akan menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu.
(Surah al-Anfal 8:46)
Ayat ini sangat penting, kerana perpecahan bukan sahaja masalah hubungan sesama umat, tetapi boleh menyebabkan hilangnya kekuatan umat.
Cabaran besar juga ialah ego dan kepentingan kelompok. Penyatuan sering gagal bukan kerana tiada persamaan, tetapi kerana persamaan tenggelam akibat perbezaan.
Kadang-kadang kepentingan parti mengatasi kepentingan umat, kepentingan kelompok mengatasi kepentingan ummah. Pemimpin lebih takut kehilangan pengaruh daripada kehilangan perpaduan. Penyokong melihat pihak lain sebagai musuh, walaupun kedua-duanya mengaku memperjuangkan Islam. Di sinilah ujian sebenar penyatuan ummah.
Cabaran besar juga apabila penyatuan ummah hanya untuk meminimumkan pertembungan dalam meraih undi dalam PRU atau PRN. Kepentingan yang paling diutamakan ialah menang kerusi yang ditandingi dan terus kekal berkuasa. Tiada agenda utama untuk ummah. Mereka yang masih berkuasa ingin kekalkan kuasa walaupun terpalit dengan pelbagai skandal dan salah laku. Kononnya demi penyatuan ummah, mereka disucikan dari kesalahan lampau.
Sebab itu kita lihat malapetaka buruk yang menimpa negara terkini dengan isu dadah, rasuah, PATI, pemerdagangan manusia dan lain-lain melibatkan peringkat tinggi sebenarnya bukan berlaku setahun dua ini. Ianya sudah masuk puluhan tahun. Apa yang berlaku hari ini adalah hasil tindakan lampau. Dulu mereka jadi pemimpin dan sekarang masih memimpin. Dan akan terus memimpin melalui penyatuan ummah. Atas slogan penyatuan ummah mereka disucikan dari segala dosa-dosa lampau bukan kerana taubat tetapi situasi politik yang memerlukan mereka disucikan.
Kegagalan akan berulang bahkan mungkin lebih teruk. Kesannnya generasi muda mulai membenci medan politik. Ahli politik terpisah dengan kehidupan rakyat. Rakyat mengharungi kehidupan sendirian, sementara ahli politik di alam mereka untuk kekalkan kuasa.
Lihat sahaja situasi negara terkini ahli politik yang berkuasa hidup alam mereka hanya berfikir macamana untuk kekalkan kuasa. Kelompok masing-masing ligat berfikir untuk buat penyatuan parti supaya dapat kekalkan kuasa. Tiada kedengaran suara ahli-ahli politik bercakap masalah ummah akhir-akhir ini mungkin hingga pru 16 kerana mereka tiada agenda untuk ummah. Keutamaan mereka adalah dicalonkan untuk bertanding dalam pru dan menang.
Penyatuan bukan bermaksud menghapuskan perbezaan. Ini perkara penting. Bersatu tidak semestinya seragam. Para sahabat sendiri mempunyai perbezaan pandangan dalam beberapa perkara. Namun perbezaan tersebut tidak menyebabkan mereka kehilangan persaudaraan Islam.
Allah berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.
(Surah al-Ḥujurat 49:10)
Maka prinsipnya, berbeza pandangan, tetapi jangan bermusuhan. Berbeza pendekatan, tetapi jangan memutuskan ukhuwah. Berbeza organisasi, tetapi jangan menghancurkan umat.
Antara impian dan realiti
Penyatuan ummah menjadi kejayaan yang diimpikan apabila, pemimpin dan rakyat sanggup meletakkan Islam dan maslahat umat mengatasi kepentingan parti dan kepentingan individu. Sebaliknya, menjadi kegagalan yang digeruni apabila kepentingan individu dan kepentingan kelompok mengatasi kepentingan ummah.
Lebih buruk lagi jika penyatuan ummah hanya untuk kekalkan kuasa politik, tiada agenda jelas untuk ummah. Ummah disajikan hidangan lazat tetapi semuanya racun yang tersembunyi. Buktinya jelas setelah 69 tahun merdeka, skandal buruk negara kita semakin ” memburuk”. Antaranya, isu dadah, rasuah, PATI dan lain-lain tiada jalan penyelesaian yang tuntas dari mereka yang berkuasa. Pemimpin yang sama dulu, kini dan mungkin akan datang. Krisis yang berlarutan dalam negara pun berlegar isu yang sama. Tak berkurang tetapi semakin tenat.
Slogan penyatuan ummah ini bukan perkara baharu dalam politik Malaysia. Sejak merdeka sudah banyak dilaungkan slogan perpaduan, cuma sekarang nampak lebih Islamik sikit dinamakan penyatuan ummah. Hasilnya untuk ummah khasnya bangsa Melayu semakin lemah dalam semua bidang, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.
Sebab itu penyatuan memerlukan keikhlasan, keberanian mengalah, husnuzan, dialog dan kesediaan mencari titik persamaan.
Ustaz Sharipudin Ab Kadir
Penasihat Politik dan Perundangan ISMA


