Tadabbur Surah al-Hujurat Pasak Pembentukan Masyarakat Rabbani
SANDAKAN, 10 Oktober – Suasana penuh ukhuwah dan semangat kemerdekaan mewarnai Program Usrah Wanita dan Potluck Merdeka yang berlangsung di pekarangan Masjid Al-Biruni, ADTEC-JTM, semalam.
Program yang menghimpunkan kira-kira 42 orang peserta muslimah, terdiri daripada suri rumah, wanita berkerjaya dan remaja daripada komuniti setempat, bertujuan memperkukuh ikatan persaudaraan serta menyuburkan penghayatan akhlak Islamiah berpandukan al-Quran.
Slot pengisian kali ini disampaikan oleh Ketua Wanita ISMA Sandakan, Sitti Rahmah binti Rolla, yang mengupas topik “Tadabbur Al-Hujurat: Manhaj Masyarakat Rabbani”.
Menerusi perkongsian tersebut, para peserta dibimbing untuk mendalami intipati Surah Al-Hujurat, melalui empat teras utama dalam membina adab dan tata susila kehidupan bermasyarakat.
Empat teras tersebut ialah adab kepada Allah dan Rasul – Kewajipan menjaga adab, tidak mendahului ketetapan Allah SWT dan Rasul-Nya, merendahkan suara serta mengamalkan kesabaran pada tahap tertinggi.
Kemudian, adab menerima berita – Kepentingan mengamalkan prinsip tabayyun, iaitu menyiasat dan menyemak kesahihan sesuatu berita. Dalam era media sosial, prinsip “Tahan dan Semak” perlu diamalkan sebelum membuat keputusan untuk berkongsi atau memadam sesuatu maklumat.
Seterusnya, mendamaikan persengketaan – Menegaskan prinsip bahawa orang mukmin itu bersaudara. Sehubungan itu, setiap anggota komuniti diseru agar bertindak adil dalam usaha mendamaikan pihak yang bertelingkah.
Akhir sekali, adab kemanusiaan – Seruan untuk menjauhi perbuatan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat, termasuk mempersendakan orang lain, mencela, memberikan gelaran buruk, bersangka buruk (suuzan), mengintip (tajassus) dan mengumpat (ghibah).
Sitti Rahmah turut menekankan bahawa kayu ukur kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT bukanlah harta, pangkat atau keturunan, sebaliknya ketakwaan. Slot pengisian diakhiri dengan doa agar Allah SWT menautkan hati anggota masyarakat supaya terus hidup dalam persaudaraan serta memelihara lidah daripada menyakiti hati sesama insan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada Pengarah Program, Puan Siti Zaleha binti Jainy, barisan jawatankuasa Wanita ISMA Sandakan serta ahli Kelas Rehal Wanita yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis ilmu yang penuh keberkatan ini.