KUANTAN, 7 November – Seramai 200 orang peserta wanita telah hadir ke Seminar Wanita Islam (SERWANIS) Pahang 2026 yang berlangsung di Dewan BCIC, Indera Mahkota, 31 Oktober yang lalu.
Program bertemakan ‘Wanita Jiwa Sejahtera, Komuniti Bahagia’ ini dianjurkan melalui gabungan Wanita ISMA dari empat cawangan di Pahang iaitu Indera Mahkota, Kuantan, Pekan dan Temerloh, dengan kerjasama Kelab Serikandi Iffah, I-Medik Pahang, serta Beliawanis PEMBINA Pahang. 31 Oktober yang lalu
Program perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Wanita ISMA, Puan Shazmawati Zam Hashari. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kesejahteraan komuniti tidak dapat dipisahkan daripada kesejahteraan jiwa wanita yang memikul pelbagai tanggungjawab berat dalam kerjaya dan keluarga.
“Kekuatan jiwa dan iman yang berpaut kepada Allah SWT menjadi pasak penting dalam menghadapi ujian hidup tanpa mengabaikan keseimbangan rohani, emosi, mental, dan fizikal,” katanya ketika ucapan perasmian.
Ucaptama program telah disampaikan oleh Ketua Wanita ISMA Indera Mahkota yang juga pensyarah perubatan UIAM, Dr. Norbaiyah Mohamed Bakrim. Beliau membangkitkan isu ‘sindrom kehidupan sempurna’ di media sosial yang seringkali menjadi pencetus kepada wanita untuk membandingkan kehidupan peribadi sendiri dengan orang lain sehingga terlupa menghargai nikmat yang sedang dimiliki.
Sesi forum interaktif bersama cikgu Naziratul Asyikin Mohd Sam, ustazah Nurul Syahida Ishak (pendakwah bebas)dan Pakar Psikiatri Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Dr. Muna Hamiza Asiff telah mengupas isu-isu tekanan yang biasa dialami oleh wanita, risiko kemurungan, serta tips mengatasi lesu upaya (burnout) dari sudut kesihatan dan agama.
Ustazah Nurul Syahida turut menekankan bahawa Islam meraikan kepelbagaian emosi manusia seperti sedih, takut, dan marah, serta menyediakan panduan syarak yang jelas untuk merawat jiwa.
Bengkel praktikal pengurusan emosi yang dikendalikan oleh fasilitator dari I-Medik dan Jabatan Psikiatri Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) cukup membuatkan para peserta teruja. Melalui bengkel ini, para peserta didedahkan kepada teknik pernafasan dalam, kaedah grounding, serta kemahiran mendengar aktif tanpa menghakimi dalam menangani situasi serangan panik (panic attack).
Program yang berlangsung selama setengah hari ini telah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada peserta yang hadir. Rata-rata mengharapkan ada penerusan program SERWANIS 2.0.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan berupaya untuk menghapuskan stigma kesihatan mental yang masih membelenggu masyarakat. Dalam masa yang sama turut memperkasa wanita untuk menjadi lebih berdaya tahan demi membina keluarga dan komuniti yang unggul.


