ALOR SETAR, 9 November – Hampir 20 peserta daripada Flat Alor Malai dan kawasan sekitarnya telah menyertai Usrah Wanita: Kelas Fardu Ain anjuran bersama ISMA Cawangan Alor Setar dan komuniti Flat Alor Malai yang diadakan di Dewan Rumah Pangsa Alor Malai, Alor Setar 23 Oktober lalu.
Program yang bermula pada jam 5.00 petang ini membawa tajuk “Taharah: Kunci Sahnya Ibadah” dengan menampilkan Ustazah Nuraini binti Mohamad Salleh sebagai penyampai.
Pengisian kali ini memberi tumpuan kepada ilmu taharah atau bersuci, iaitu salah satu asas penting dalam kehidupan seorang Muslim. Kefahaman yang tepat mengenai kaedah bersuci amat diperlukan bagi memastikan ibadah, khususnya solat, dapat dilaksanakan dengan sah dan menepati tuntutan syariat.
Taharah bukan sekadar berkaitan kebersihan fizikal, malah merupakan tuntutan agama yang mempunyai kaitan rapat dengan kesempurnaan ibadah seseorang. Oleh itu, setiap Muslim perlu melengkapkan diri dengan ilmu fardu ain agar dapat memahami dan melaksanakan tuntutan bersuci dengan betul dalam kehidupan seharian.
Penganjuran Usrah Wanita ini merupakan salah satu usaha mendekati golongan wanita dan komuniti setempat melalui pengisian ilmu agama. Inisiatif seumpama ini juga membuka ruang kepada masyarakat untuk terus menambah pengetahuan, memperbaiki amalan serta mengeratkan ukhuwah sesama Muslim.
Diharapkan program ini dapat menjadi wadah berterusan dalam menyebarkan ilmu fardu ain, memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam serta membina masyarakat yang lebih celik agama dan menjadikan Islam sebagai panduan dalam kehidupan.


